#PrayForMH370

#PrayForMH370

Sunday 1 October 2017

Kelewatan RTB Bukan Punca Utama Banjir Kilat - @ahmadbashahBB #MuafakatKedah



ALOR SETAR - Kelewatan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit bukan punca utama menyebabkan berlaku banjir kilat di Kedah, minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyangkal dakwaan pembangkang yang sengaja mengaitkan isu banjir kilat dengan projek itu yang mengalami kelewatan, di mana hanya capai 77 peratus kemajuan berbanding sasaran 94.5 peratus, setakat 20 Julai lalu.


“Berdasarkan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kaji Cuaca serta agensi lain, memaklumkan hujan yang turun secara luar biasa serta fenomena air pasang menjadi punca banjir di Kedah,” katanya, selepas merasmikan Program Mesra Muafakat Syura Wanita Umno, di Flat Seri Gemilang, Mergong.

Menurutnya, tidak wajar meletakkan kesalahan 100 peratus terhadap kelewatan projek RTB Sungai Kedah/Anak Bukit kerana projek RTB di Kuala Muda melibatkan RM1.4 bilion telah siap sepenuhnya dan berjaya mengurangkan risiko banjir besar.

“Bukan sebabnya RTB sahaja, hujan lebat dengan air pasang lagi, banyak tempat rendah dinaiki air. Kita berbelanja berbilion ringgit untuk semua projek RTB, ada yang dah siap, ada masih dilaksana seperti di Kota Setar dan Kubang Pasu yang dijangka siap 2019, saya percaya selepas itu masalah selesai,” katanya.


Ahmad Bashah berkata, pembangkang lebih gemar mempolitikkan isu banjir berbanding membantu lebih 3,000 mangsa banjir di empat daerah terlibat, iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda dan Pokok Sena, yang berakhir Khamis lalu.

“Apabila berlaku hujan luar biasa selain air laut pasang, kita terpaksa tutup pintu tandop pasang surut Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk elak air masin masuk ke sawah. Bila tutup air hujan tak dapat mengalir ke laut,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung meminta kerajaan mempercepatkan projek RTB Sungai Kedah/Anak Bukit yang sepatutnya dijadual siap bulan ini bagi mengurangkan risiko banjir.

Mengulas banjir kilat di Langkawi yang berlaku dua kali sepanjang bulan ini, katanya, situasi sama seperti berlaku di Pulau Pinang kerana ia sebuah pulau.

“Banjir di Langkawi bukan disebabkan masalah sistem perparitan, tetapi faktor air laut yang pasang luar biasa serta taburan hujan juga luar kebiasaan. Kejadian alam ini kita tak boleh kawal, namun kita akan pastikan sistem perparitan sedia ada tak jejaskan kawasan rendah,” katanya.

Menurutnya, banjir kilat di Langkawi tidak menjejaskan kedatangan pelancong kerana ia bersifat sementara.

“Saya yakin pelancong faham situasi yang berlaku, kerajaan berbelanja bilion ringgit untuk tingkatkan prasarana di pulau itu, namun jika air pasang bertembung hujan lebat yang berterusan, itu di luar kawalan kita,” katanya. -SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...