#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 26 January 2016

Setiap MB Kedah Ada Kisahnya Yang Tersendiri


ALOR SETAR - Perang terbuka terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir oleh kepimpinan Umno Kedah apabila mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah itu, membuka lembaran sejarah membabitkan beberapa menteri besar terdahulu, yang turut terpalit dengan pelbagai isu dan kontroversi.

Bezanya, Mukhriz didesak melepaskan jawatan bukan disebabkan tidak mendapat sokongan rakyat dan akar umbi, sebaliknya hilang sokongan daripada 14 ketua bahagian Umno Kedah.

Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim berkata, menteri besar yang terlibat dengan kontroversi ialah menteri besar kelima, Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Sheh Shahabuddin; menteri besar keenam, Tan Sri Osman Aroff dan menteri besar ketujuh, Tan Sri Sanusi Junid.

Dua lagi Menteri Besar tidak berdepan isu ‘panas’, namun gugur dari kerusi empuk itu berdasarkan perkembangan politik semasa adalah menteri besar kelapan, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah yang dikaitkan dengan masalah kesihatan, manakala menteri besar kesembilan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berikutan tsunami politik PRU12 menyaksikan Kedah jatuh ke tangan pembangkang.

Abdul Rahman, yang juga bekas Exco kerajaan negeri bawah pentadbiran Osman dan Sanusi berkata, setiap zaman itu mempunyai kisah tersendiri yang ketika itu cukup besar kesannya kepada rakyat dan pemimpin Kedah untuk menerimanya.


Syed Nahar (tempoh perkhidmatan 1978-1985) melepaskan jawatan secara sukarela demi memelihara martabat kerabat diraja Kedah kerana mempunyai pertalian, apabila tersebarnya video ‘Manolito Montoya’ di sebuah pesta peribadi berpakaian ala-Mexico.

“Bagi era zaman 30 tahun lalu, ia sesuatu yang besar. Menimbulkan persepsi negatif kalangan rakyat, dan kerana tidak mahu memanjangkan isu berkenaan, Syed Nahar menawarkan melepaskan jawatannya,” katanya.

Ketika itu, beliau memiliki sokongan padu daripada rakyat dan barisan kepimpinannya, namun nasib tidak menyebelahi beliau gara-gara video kontroversi itu.

“Video sebegitu amat sensitif bagi orang Melayu, khususnya rakyat Kedah. Beliau tidak mengambil masa lama untuk letak jawatan selepas tersebarnya video, dan bertindak bukan atas desakan mana-mana pihak,” katanya.

Pada 24 Januari 1985, Syed Nahar mengumumkan peletakan jawatan dan menamakan Osman yang ketika itu ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah sebagai pengganti.


Osman (1985-1996) mengangkat sumpah jawatan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit pada 28 Januari 1985.

Osman juga mengambil alih jawatan sebagai Ketua Perhubungan Umno Kedah merangkap Pengerusi BN Kedah, namun melepaskan jawatan Ketua Umno Kubang Pasu yang disandang dari tahun 1969 hingga 1972, bagi memberi laluan kepada (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai Umno Bahagian Kubang Pasu.

“Osman boleh diiktiraf sebagai zaman paling cemerlang buat politik Kedah, atas kejayaannya memenangi banyak kerusi Dun dan parlimen. BN menang semua 15 kerusi parlimen dan daripada 36 kerusi Dun, hanya kalah dua. Beliau tidak dikaitkan dengan isu-isu panas, melainkan isu pengambilan tanah projek udang di Kerpan, Jerlun,” katanya.

Pada zamannya, beliau cuba membawa pembangunan kepada negeri dengan pendekatan realistik, namun campur tangan pimpinan utama menyebabkan kedudukan beliau tergugat.

“Ketika itu, wujud spekulasi mahu menggantikan beliau dengan Sanusi. Walaupun Osman mendapat sokongan wakil rakyat, namun ketegasan perdana menteri ketika itu, itu Dr Mahathir, menyebabkan mereka akur. Isu kerpan dijadikan serangan utama untuk menjejaskan kredibiliti Osman,” katanya.
 

Sanusi (1996-1999) dilabel sebagai gagal mengekalkan kegemilangan Kedah, apabila pilihan raya bawah eranya menyaksikan kekalahan teruk, dengan BN menang hanya 22 kerusi Dun dan tujuh parlimen.

“Keputusan merosot itu menimbulkan kemarahan Dr Mahathir, sehingga menukar menteri besar dengan calon pilihannya, Syed Razak,” katanya.

Dalam pada itu, prestasi Sanusi dalam pentadbiran turut menjadi pertikaian apabila sering menimbulkan idea-idea pelik, sehingga menjadi modal pembangkang menghentam kerajaan negeri.

“Antara idea dikritik hebat adalah projek tanam padi atas bumbung, kempen cabut uban suami, Kampung Buku Langkawi serta pusat sembelihan di Paya Pahlawan yang menjadi projek gajah putih. Idea kurang meyakinkan ini menimbulkan kemarahan rakyat kerana (melibatkan) kos tinggi,” katanya.

Berbanding pentadbiran Syed Nahar dan Osman, pentadbiran Sanusi lebih dilanda badai sama ada sokongan rakyat mahupun wakil rakyatnya, yang kurang senang dengan pendekatannya.


Syed Razak (1999-2005) dikaitkan dengan isu pembalakan namun masalah kesihatan beliau menyebabkan beliau kurang diserang pembangkang, sebelum tempat itu diisi Mahdzir Khalid (2005-2008). -SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...