#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday 6 April 2015

IS Hanya Indah Khabar Dari Rupa @Zahid_Hamidi #IslamicState #Ekstremis


KUALA LUMPUR - Sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang ditahan kerana menyertai militan IS mengakui suasana perjuangan itu hanya indah khabar dari rupa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasil soal siasat dengan sebahagian bekas anggota IS yang berjaya ditahan seolah-olah menyesal menyertai perjuangan jihad palsu itu.

“Daripada 75 orang yang ditangkap itu, sebahagian besarnya adalah mereka yang kembali ke tanah air.

“Soal siasat telah dilakukan dan mendapati mereka mengatakan bahawa (di sana) indah khabar dari rupa. Ertinya, terdapat semacam penyesalan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Kempen Belia Tolak Ekstremisme, di sini, semalam.


Menurutnya, rakyat negara ini yang terpengaruh untuk berjuang di sana seolah-olah digambarkan suasana yang menjanjikan ke arah syahid namun apabila mereka tiba di sana, ia bukan seperti yang digambarkan.

“Seolah-olah gambaran sebelum pergi (dan apa yang berlaku di sana berbeza).Tempat apa yang dipanggil sebagai tempat perjuangan itu... tempat yang menjanjikan sesuatu sebagai 'war zone' yang akan mewujudkan syuhada atau orang-orang yang syahid di situ.

“Tetapi jelas bahawa tidak begitu keadaannya. Sebab itu mereka kembali ke Malaysia,” katanya.

Mengikut rekod, polis telah menangkap 75 anggota IS di negara ini dan ditempatkan di lima penjara berbeza.

Menurut Ahmad Zahid, pengasingan itu bertujuan bagi mengelakkan bekas anggota IS ini mempengaruhi banduan lain atau pegawai penjara yang bertugas.

“Dulu 75 orang ini dicampurkan dengan lain-lain banduan tapi kini mereka diasingkan di lima buah penjara yang berbeza. Ini bagi menyekat orang yang ditahan itu mempengaruhi banduan lain atau pegawai penjara yang menjaga mereka.

“Antara mereka yang ditahan termasuk enam orang bekas-bekas tahanan ISA, lima orang berjuang di Syria dan seorang berjuang di Iraq. Ini menunjukkan bahawa undang-undang pencegahan cukup perlu dan jangan menganggap bahawa ini satu lagi usaha kerajaan untuk mengembalikan ISA sebagai undang-undang untuk menyekat perbezaan ideologi politik,” katanya. -SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...