#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 17 March 2015

Kajian Merdeka Centre Bukan Penghalang #Hudud


KUALA LUMPUR - Kaji selidik dari Merdeka Center mengenai maklum balas responden berhubung isu hudud tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menghalang Pas Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, kajian tersebut hanya maklum balas logik daripada responden berdasarkan soalan yang diajukan.

"Responden hanya diberikan pilihan sama ada memilih hudud atau pembangunan di Kelantan.

"Saya pasti responden juga tidak bercakap secara menyeluruh mengenai hudud kerana hanya boleh memilih jawapan yang terdapat dalam soalan kaji selidik," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Mohd Hatta mengakui pembangunan di Kelantan sedikit perlahan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.


"Saya boleh katakan kerajaan negeri akan melaksanakan kedua-duanya (hudud dan pembangunan)," jelasnya.

Sebelum ini tinjauan yang dilakukan oleh Merdeka Center terhadap 1,008 pengundi mendapati 84 peratus responden berpendapat Kelantan perlu memberi tumpuan kepada pasca pemulihan banjir.

Pandangan sama turut disuarakan oleh sejumlah 81 peratus pengundi Melayu Muslim seluruh Semenanjung Malaysia.

Sementara itu Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke pada sidang media berasingan menggesa kerajaan Pas Kelantan memberi tumpuan kepada pemulihan pasca banjir berbanding pelaksanaan hudud di negeri itu.

"Diharapkan kerajaan Kelantan dan kepimpinan mendahulukan kebajikan rakyat. Tidak perlu beri tumpuan terhadap hudud," katanya.

Sebelum ini Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan berkata, DAP dan PKR perlu bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan Pas selama ini jika tidak mahu melihat pakatan pembangkang berpecah.

Katanya, pelaksanaan hudud tidak melibatkan orang bukan Islam terutama di Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...