#PrayForMH370

#PrayForMH370

Saturday 21 February 2015

Dewan Ulama Pas Bidas Lim Kit Siang


Dewan Ulama Pas membidas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang membantah hasrat Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, hukum hudud atau Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 merupakan asas perjuangan parti itu yang tidak boleh diganggu-gugat.

“Dalam demokrasi, dia memang boleh cakap apa dia hendak, tetapi jangan ingat Pas ini macam budak sekolah. Dasar DAP adalah sekular sosialis tetapi dasar Pas adalah Islam.

“Kalau dia kata jangan laksana hukum hudud secara tergesa-gesa, itu tidak betul, kita sudah bincang tentang hukum hudud dari Kelantan sampai ke Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Kit Siang kembali menekan Pas supaya tidak meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud di Kelantan.


Kit Siang dalam ceramah di Pulau Pinang itu turut mengambil kesempatan ‘mengingatkan’ Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang janjinya bahawa undang-undang Islam berkenaan tidak akan dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Menurut Mahfodz, dakwaan Kit Siang bahawa pelaksanaan hukum hudud dilakukan tergesa-gesa adalah tidak betul kerana undang-undang Islam itu telah diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sejak tahun 1993 lagi dan pelbagai seminar serta perbincangan telah diadakan.

“Setelah apa yang Pas lakukan, dia hendak kata yang hukum hudud ini dibuat secara tergesa-gesa, Ini maksudnya dia tidak tahu perkembangan semasa Pas,” katanya.

Jelas beliau, perjuangan menegakkan hukum hudud di Kelantan merupakan asas perjuangan parti itu dan peluangnya semakin positif menerusi penubuhan jawatankuasa teknikal khas tentang undang-undang itu melibatkan kerajaan Pas Kelantan dan kerajaan Pusat.

“Adakah secara tiba-tiba dengan tahaluf siyasi, dia (Kit Siang) hendak jahanamkan perjuangan hudud Pas, dia boleh ingatkan tetapi pimpinan Dewan Ulama Pas tidak akan terima ingatan itu, hasrat kita adalah melaksanakan dasar Islam,” katanya.

Tegasnya lagi, perjuangan menegakkan hukum hudud adalah legasi peninggalan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diteruskan oleh Menteri Besar ketika ini, Datuk Ahmad Yakob.

Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...