#PrayForMH370

#PrayForMH370

Tuesday 29 April 2014

Pindaan Undang-Undang Cegah Wakil Rakyat Letak Jawatan Dikaji


Kerajaan akan mengkaji keperluan meminda undang-undang termasuk mengenakan hukuman berat terhadap wakil rakyat yang meletakkan jawatan tanpa alasan munasabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, persidangan Dewan Negara diberitahu.

Beliau berkata cadangan itu antara perkara diperincikan kerana hukuman sedia ada iaitu wakil rakyat yang berbuat demikian dilarang daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun, tidak mampu mencegah perbuatan itu daripada berlaku.

"Kita akan perincikan perkara ini dari semasa ke semasa bagi tujuan mencegah perbuatan seumpama ini.

"Walaupun kerajaan tidak mempunyai hak untuk menghalang seseorang wakil rakyat untuk berbuat demikian, namun semua cadangan penambahbaikan mengenai cara mencegah perbuatan itu akan dikaji kerajaan," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Ahamat@Ahamad Yusop yang ingin tahu sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang mengeluarkan garis panduan baharu bagi mencegah berlakunya peletakan jawatan wakil rakyat tanpa sebarang sebab munasabah.

Shahidan menegaskan tindakan meletak jawatan tanpa alasan munasabah hanya mendatangkan kerugian kepada kerajaan yang terpaksa menanggung kos bagi membiayai pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan tindakan tidak beretika itu tidak terus menjadi amalan dalam kalangan wakil rakyat dan sedia mengkaji tindakan pencegahan dari semasa ke semasa berlandaskan akta dan peraturan ditetapkan.

Berhubung kos untuk empat PRK yang berlangsung selepas pilihan raya umum Mei tahun lepas, Shahidan berkata ia melibatkan peruntukan kira-kira RM4.4 juta iaitu RM1.6 juta bagi PRK Kajang, RM1.1 juta bagi PRK Sungai Limau dan masing-masing RM910,000 dan RM760,000 untuk PRK Balingian dan PRK Kuala Besut.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Adam Abdul Hamid yang ingin tahu kemungkinan SPR mengadakan persempadanan semula kawasan pilihan raya memandangkan kawasan penempatan semakin luas serta pertambahan jumlah pengundi, Shahidan berkata langkah itu akan dilaksanakan serentak di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak apabila tiba masanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...