#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday 23 October 2013

PRK N.20 : Elak Pergeseran Sepanjang Tempoh Berkempen


Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir meminta semua penyokong Umno mahupun Pas mengelakkan sebarang pergeseran sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, bermula 23 Oktober ini.

Katanya, ia perlu agar usaha ke arah menjayakan proses perpaduan antara ahli dan penyokong kedua-dua buah parti terbesar orang Melayu itu kekal harmoni.

“Apa yang penting elak berlakunya pergeseran antara penyokong Umno dan Pas, tidak kira siapa yang dipilih menjadi wakil rakyat di Dun Sungai Limau, kita mahu proses perpaduan antara kedua-dua parti tidak tercemar,” katanya, ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu.

Menurutnya, perpaduan dalam konteks politik bermula dari keluarga Umno itu sendiri, namun perpaduan yang lebih utama ialah keseluruhan masyarakat Melayu tanpa mengira ideologi politik, latar belakang, tempat tinggal dan status ekonomi.

“Ini penting jika mahu melihat pembangunan yang dibawa ke negeri ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat khususnya Melayu,” katanya.

Mukhriz yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kedah berkata, berikutan itu, pendekatan baharu ini wajar dipupuk bagi meredakan pertelingkahan antara penyokong mahupun pemimpin parti kedua-dua pihak.

“Jika ditanya kepada orang Melayu, majoriti menyimpan hasrat untuk melihat Umno dan Pas tidak lagi bertelingkah. Kedua-dua parti ini mempunyai banyak persamaan, tetapi malangnya dalam politik perbezaan yang sedikit itu diperbesarkan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua parti juga wajar bertolak ansur demi keutuhan orang Melayu.

“Saya rasa Umno terpaksa lebih terbuka dan tidak kedekut, Pas pula jangan terlalu angkuh. Kalau ini kita dapat lakukan, Insya-ALLAH, perpaduan dalam erti kata sebenar akan jadi kenyataan,” katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...