#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday 17 July 2013

JAIK Tiada Kuasa Tutup Tahfiz



Alor Setar: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) tidak mempunyai bidang kuasa untuk menutup operasi sebuah pusat tahfiz di Jalan Kuala Kedah-Yan, di sini yang dilapor menggunakan pelajarnya untuk mengutip derma melalui jualan amal. 

Pengarahnya, Datuk Noh Dahya, berkata ini berikutan jabatan itu masih belum ada peruntukan undang-undang yang komprehensif untuk membolehkannya mengambil tindakan terhadap premis seumpama itu. 

Sehubungan itu, katanya, JAIK meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membentuk satu peruntukan perundangan lebih seragam di seluruh negara bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dijalankan secara lebih menyeluruh. 

Beliau berkata, JAIK hanya mengeluarkan permit kepada mana-mana pihak yang ingin mendapatkan kebenaran mengutip derma untuk tujuan pengimarahan seperti membina masjid, surau serta keperluan pendidikan dan keagamaan, bukan bagi tujuan mengaut keuntungan. 

“Mana-mana pihak hanya perlu mengemukakan permohonan secara lengkap sebelum JAIK mengeluarkan permit bagi membolehkan mereka mengutip derma. Bagaimanapun, permit itu hanya sah digunakan di negeri ini saja. Permohonan juga perlu menyatakan tujuan projek derma itu dilakukan, termasuk kos diperlukan pihak terbabit dengan terperinci. 

“Bagi kes pusat tahfiz ini, kita tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kerana permohonan sebelum ini ditolak berikutan tidak mengikut syarat ditetapkan. Saya difahamkan pengurusan pusat itu masih menjalankan operasi dan menggunakan pelajarnya untuk mengutip derma bagi jualan amal,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.


Jumaat lalu, akhbar melaporkan JAKIM mengesahkan pusat tahfiz amal di Kilometer 17 Jalan Kuala Kedah-Yan, dekat sini, yang memperalatkan pelajarnya mengutip derma bernaung di bawah ajaran Azhar Wahab atau ajaran Al-Mansur yang difatwakan sesat. 

Difahamkan, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 membincangkan mengenai ajaran Azhar Wahab dan memutuskan ia bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, sekali gus menyeleweng daripada Islam. 

Sementara itu, Noh berkata JAIK berharap pelaksanaan undang-undang yang bakal dibentuk JAKIM nanti akan dikuatkuasakan di semua negeri. -Berita Harian

p/s: Banyak sumber dari media sosial yang membincangkang mengenai perkara ini, tapi perkara ini masih berterusan. Malah, pelajar-pelajarnya dibawa untuk 'mengemis' sehingga ke seluruh semenanjung. Baca antara kisah pendedahannnya di FacebookMazidulAkmal dan MyMassa.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...