#PrayForMH370

#PrayForMH370

Wednesday 19 June 2013

Sekolah Satu Aliran Pupuk Perpaduan Nasional


Hakikat bahawa semakin banyak desakan termasuk daripada kalangan cendekiawan Cina sendiri supaya sistem persekolahan satu aliran diperkenalkan, menunjukkan kebimbangan terhadap tahap perpecahan kaum di negara ini sekarang, dikongsi oleh majoriti rakyat.

Kecuali pertubuhan pendidikan cauvinis Cina dan parti politik yang menjadikan isu perkauman sebagai talian hayat perjuangan mereka, semua pihak mengakui dasar yang membenar dan menggalakkan kehadiran sekolah jenis kebangsaan menjadi penghalang utama kepada perpaduan kaum.

Terbaru, Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong berkata, kewujudan 61 sekolah vernakular swasta dan 78 sekolah jenis kebangsaan (SJK) menjadi punca kepada rakyat berbilang kaum gagal mengenali dan menghormati antara satu sama lain.

Bagaimanapun, kenyataan Dr. Teo itu bukan yang pertama daripada tokoh pendidikan Cina. Pelbagai kajian dan buku mengenai perpaduan kaum atau pembentukan bangsa Malaysia, sepakat mengaku sistem pendidikan adalah alat utama ke arah mencapai perpaduan nasional.

Seorang lagi tokoh akademik Cina, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim lima tahun dahulu pernah menyarankan kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai.

Malah, saranannya ketika itu dibahaskan di Dewan Rakyat dan mendapat sokongan beberapa ahli Parlimen pembangkang, termasuk Tony Pua dari DAP.

Bagaimanapun, saranan itu hilang begitu sahaja sehingga keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini yang menunjukkan tahap semangat perkauman di negara ini sekarang.


Walaupun sekolah dan bahasa kebangsaan dikenal pasti seawal Penyata Razak pada 1959, sebagai alat utama perpaduan kaum dan pembentukan bangsa, ternyata pertimbangan politik sejak itu sehinggalah sekarang menyukarkannya daripada kenyataan.

Kesannya bukan sahaja semangat perkauman semakin menebal, tetapi bahasa kebangsaan yang menjadi faktor perpaduan di negara majmuk menjadi terpinggir di negara sendiri. Lebih malang, dasar pendidikan yang bercelaru kerana sering berubah atas pertimbangan politik, memberi ruang lebih luas kepada kaum tertentu untuk menuntut yang kononnya 'hak' mereka.

Kalau dulu, istilah perpaduan nasional menjadi ungkapan penting dan dilihat mahu diperjuangkan oleh setiap parti politik, keadaan sebaliknya berlaku sekarang. Hari ini, mereka yang memperkatakan perkara sebenar dan menganjur perpaduan nasional, bukan saja dianggap kolot, malah dikatakan bersikap perkauman (rasis) seperti apa yang berlaku ke atas bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah.

Mohd Noor bukan hanya menterjemahkan Perlembagaan Negara yang tidak mengiktiraf sekolah jenis kebangsaan dan menyaran agar ia dihapuskan. Kenyataannya itu menimbulkan kemarahan puak pelampau Cina sedangkan saranan itu sama dengan desakan supaya persekolahan satu aliran diperkenalkan.

Kita tidak tahu bagaimana isu desakan supaya sistem persekolahan satu aliran ini akan berakhir. Apa yang pasti, soal perpaduan nasional dan pembentukan satu bangsa, walau apa pun istilahnya, mustahil menjadi menyataan jika kita terus tunduk terhadap desakan dan bantahan bercorak perkauman.

Bagaimanapun, jika selama ini pertimbangan politik menjadi kekangan utama dalam mengorak langkah sebenar ke arah perpaduan nasional, inilah masanya untuk memperbetulkan keadaan. Keputusan PRU-13 jelas membuktikan pendekatan berhubung isu ini, melebarkan lahi jurang perkauman.

Sudah tiba masanya pendekatan lain diambil tanpa terlalu berganting kepada pertimbangan politik jangka pendek. Apa yang penting sekarang ialah generasi masa depan dan survival bangsa, bukan kelompok perkauman sempit yang semua orang tahu agenda politik mereka.

-artikel dipetik dari Berita Harian 17 Jun 2013

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...