#PrayForMH370

#PrayForMH370

Sunday 14 April 2013

Beza Politik Dulu Dan Sekarang


“Dulu masa berkempen atau pilihan raya memang tak ada masalah langsung, malah boleh dilakukan dengan aman tanpa berpuak-puak,” kata warga emas yang bakal mengundi kali ke-10 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei nanti.

Pesara kerajaan, Md Ariffin Othman, 68, dari Kampung Simpang Empat, Chendering, sedikit kesal dengan sikap parti politik sekarang yang tidak boleh bersatu seperti yang pernah dialaminya lebih 40 tahun lalu ketika musim pilihan raya.

“Kalau dibandingkan, memang pakcik suka suasana mengundi pada zaman dahulu kerana orang ramai dapat bersatu, malah boleh berkongsi lokasi ceramah.

“Dahulu, Padang Maziah adalah lokasi utama calon masing-masing memperkenalkan diri dan masa itu, ceramah yang disampaikan tidak menyentuh langsung perkara mengaibkan orang, apatah lagi kutuk-mengutuk seperti yang berlaku hari ini,” kata bapa empat anak ini kepada Sinar Harian.

Menurut Md Ariffin yang pertama kali membuang undi pada 1969, dia sendiri tidak dapat meneka parti pilihan rakan-rakannya sehinggalah pada hari mengundi.

“Ini kerana semua penduduk bersepakat menghadiri ceramah disampaikan, sama ada daripada parti Pas, Negara mahupun Kapal Layar (Perikatan).

“Kami sama-sama menaiki kenderaan ke lokasi ceramah dan ketika mendengar syarahan calon, masing-masing menilai sendiri calon mana yang mahu dipilih tanpa sebarang provokasi atau berlaku kes pukul dan sebagainya,” ceritanya.

Keadaan itu sangat berbeza jika mahu dibandingkan pilihan raya sekarang yang kebanyakannya berpuak-puak malah tidak mampu disatukan walaupun bukan pada musim mengundi.

Ditambah pula, samseng-samseng parti dan usaha menghalang pengundi membuang undi dan sebagainya yang tidak dapat dilihat pada zaman dahulu walaupun terdapat parti yang menentang kerajaan.

Namun katanya, walaupun pilihan raya terdahulu lebih menggembirakannya tetapi pada PRU13 kali ini, dia sangat teruja untuk mengetahui kesudahan pilihan raya itu nanti kerana pelbagai isu dan perkara berbangkit dibincangkan parti masing-masing termasuk video, gambar, manifesto dan sebagainya.

“Saya terlebih teruja untuk melihat bagaimana pilihan raya kali ini kerana banyak perkara berlaku daripada pelbagai sudut termasuk calon dan pengundi itu sendiri,” katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...