#PrayForMH370

#PrayForMH370

Friday 1 March 2013

Penjajahan Zaman Moden


Ingatkah lagi peristiwa kebangkitan kuasa rakyat di Manila pada 1986, rusuhan di Medan Tiananmen, Beijing pada 1989, gerakan reformasi di Jakarta pada 1998, pertelingkahan antara penyokong baju merah dan baju kuning di Bangkok dan demonstrasi di Dataran Tahrir, Kaherah pada 2011?

Selain itu, kita pasti tidak dapat melupakan peristiwa sehingga jatuhnya Presiden Saddam Hussein di Iraq, Muammar Gaddafi di Libya serta pemberontakan untuk menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad di Syria yang berlarutan sehingga kini.

Malah, di tanah air kita berlaku gerakan reformasi pada 1998, diikuti tiga siri perhimpunan yang kononnya menuntut pilihan raya bersih, tetapi dicemari beberapa peristiwa tidak diingini sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

Di Tiananmen pada Jun 1989, puluhan ribu anak muda menuntut pemerintahan yang mengamalkan demokrasi. Mereka berkumpul di dataran itu, mendirikan patung 'Dewi Demokrasi' setinggi 10 meter berdepan gambar besar Mao Zedong.

Akhirnya, pemerintah komunis mengarahkan tenteranya menghalau mereka dari medan berkenaan sehingga berlaku pertempuran. Anak-anak muda itu diserbu dan ditembak, ratusan terbunuh tapi tiada siapa dapat mengesahkannya.


Di Kaherah pada Februari 2011, Dataran Tahrir menyaksikan tema sama diperjuangkan. Ratusan ribu rakyat Mesir memenuhi kawasan penuh bersejarah itu sehingga Hosni Mubarak tersungkur. Namun, rakyat Mesir sampai kini belum menemui demokrasi yang sebenarnya.

Ternyata, semua ini adalah konspirasi Barat dengan mengatasnamakan tiga perkara yang cukup kuat tarikannya, iaitu demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia. Inilah senjata paling ampuh digunakan mereka dalam usaha melaksanakan perubahan rejim di beberapa negara tertentu.

Melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yayasan malah jabatan di Amerika Syarikat sendiri, mereka mengeluarkan dana kepada kumpulan penentang bagi membiayai gerakan menjatuhkan kerajaan memerintah yang enggan mengikut telunjuk mereka.


Sebagai contoh, institusi seperti National Endowment for Democracy (NED) cukup aktif menyumbang kepada kumpulan penentang yang kononnya memperjuangkan demokrasi. Begitu juga National Democratic Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI).

Soalnya, mengapa pihak yang berkepentingan di barat, khususnya Amerika Syarikat, begitu berminat untuk menguasai politik negara di Asia dan Afrika Utara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Malaysia, Syria, Libya dan Mesir?

Sebenarnya, dengan membiayai parti pembangkang atau gerakan yang menentang kerajaan, mereka berharap jika berlaku perubahan rejim dan kumpulan berkenaan berkuasa nanti, pengaruh mereka akan lebih kuat, sekaligus rejim baru itu akan mengikut telunjuk mereka.

Bagi kuasa barat, pengukuhan pengaruh mereka di Asia dan Afrika Utara adalah penting, selaras dengan strategi pelebaran geopolitik mereka di rantau sebelah sini dalam usaha mengekang dan mengimbangi pengaruh China yang kini semakin berkembang.

Hakikatnya, kekacauan yang berlaku di beberapa negara Arab sejak dua tahun lalu angkara tamaknya kuasa barat untuk meluaskan pengaruhnya dengan mengumpan slogan demokrasi, cukup mengajar kita bagaimana mahu memilih pemimpin dan kerajaan.


Apakah kita mahu pemimpin yang dicucuk hidung dan kita hidup dalam huru-hara atau yang bebas daripada sebarang pengaruh asing serta hidup dalam negara yang aman damai?

Mungkin ramai daripada kita tidak mengenal erti penjajahan kerana dilahirkan selepas 1957. Kita tidak pernah merasai peritnya hidup di bawah telunjuk orang lain.

Oleh itu, membiarkan negara kita berada di bawah pengaruh asing ibarat mengundang penjajahan baru ke atas diri kita. Elakkannya sebelum terlambat!

-artikel nukilan saudara Mustapa Omar dipetik dari Metro Ahad

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...