#PrayForMH370

#PrayForMH370

Monday 25 February 2013

Lagi Kawasan Hutan Kedah Ditarah


Ketika isu penerokaan hutan di Gunung Inas di Baling dan di Tasik Pedu terus diperkatakan, rakyat negeri ini dikejutkan pula dengan kegiatan pembalakan yang didakwa dijalankan secara rakus di Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin di sini.

Operasi mengeluarkan balak di kawasan seluas 145 hektar itu diluluskan oleh kerajaan Pas Kedah sejak lebih sebulan lalu yang dipercayai bagi projek pembangunan tanah dan dianugerahkan kepada pegawai tertinggi dalam Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS).

Meskipun aktiviti berkenaan mendapat kelulusan tetapi ia didakwa dijalankan secara rakus sehingga mengakibatkan kawasan hutan terbabit yang dahulu dilitupi dengan rimbunan menghijau pelbagai jenis pokok dan tumbuhan ditarah sehingga gondol.

Malah kerajaan Pas Kedah dikatakan turut meluluskan sejumlah 780 hektar lagi di kawasan tersebut bagi tujuan serupa menyebabkan ribuan penduduk sekitar bimbang terhadap impak alam sekitar dan kesan buruk bakal dihadapi mereka terutama dalam jangka masa panjang.

Lebih membimbangkan, aktiviti pembalakan berkenaan didakwa tidak dirujuk kepada pihak berkaitan untuk mendapat kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Kegiatan berkenaan dibongkar oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom yang melakukan tinjauan dan siasatan selama dua hari di kawasan tersebut selepas mendapat aduan daripada penduduk sekitar.

Katanya, beliau terkejut melihat keadaan hutan simpan tersebut menjadi gondol kerana aktiviti pembalakan dijalankan secara keterlaluan sehingga air di Sungai Kechik, Sungai Badak dan Sungai Wang Perah yang menjadi sumber kepada penduduk tempatan tercemar serta semakin cetek.

Menurut beliau, air dari sungai tersebut yang mengalir masuk ke Sungai Temin menjadi sumber kepada Loji Air Mukim Temin dan Loji Air Jeragan.

"Keadaan itu turut menjejaskan para petani yang mengusahakan ribuan hektar sawah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dari lima mukim, iaitu Kubang Pasu, Temin, Hosba, Binjai dan Malau," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan pembalakan itu di sini.


Mohd. Johari berkata, kegiatan pembalakan berkenaan juga dikhuatiri akan mencemarkan alam sekitar, menjejaskan dusun penduduk sekitar dan risiko dilanda bencana banjir yang lebih buruk jika tidak dihentikan segera.

"Saya difahamkan pembalakan yang dijalankan sekarang tidak langsung dirujuk untuk EIA, kalau dirujuk saya rasa laporan itu tidak betul. Kerajaan Pas Kedah perlu bertanggungjawab dalam perkara-perkara seperti ini dan mereka mesti lebih teliti dalam mengeluarkan balak. Ini mungkin kawasan yang dibenarkan tetapi cara pembalakan dijalankan secara melampau. Walaupun kawasan ini bukan kawasan tadahan air, tetapi mereka mesti mengambil kira kepentingan pemuliharaan ekosistem alam sekitar," tegas beliau.

Mohd. Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menambah, tidak salah jika kerajaan Pas Kedah ingin memajukan tanah dan memberikannya kepada sesiapa pun kerana itu hak mereka tetapi aktiviti berkenaan perlu dijalankan secara bertanggungjawab serta di tempat yang sesuai.

Katanya, mungkin kerajaan Pas Kedah sengaja menggunakan alasan untuk menganugerahkan kawasan hutan yang diterokai itu kepada KCS bagi mewajarkan balak pelbagai saiz dapat dikeluarkan sebagai jalan singkat untuk menambah pendapatan kerajaan negeri.

"Saya tidak mempertikaikan jika hendak diberi kepada KCS yang banyak menyumbang kepada pembangunan Kedah tetapi biarlah tempat itu bersesuaian. Saya berpendapat tempat ini tidak sesuai untuk diteroka apatah lagi secara rakus. Saya pun tidak faham bagaimana kerajaan Pas Kedah boleh memilih kawasan ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan menghantar surat bantahan rasmi kepada kerajaan Pas Kedah supaya menghentikan aktiviti pembalakan di situ selain berurusan dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk meminta laporan kedudukan semasa pembalakan di negeri ini kerana peraturan EIA seolah-olah tidak efisien.

"Jika kerajaan Pas Kedah tetap berdegil, kami akan membawa penduduk melihat sendiri kerakusan pembalakan di kawasan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...