#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 21 February 2013

Kakitangan KUIN Serah Memorandum Bantahan


ALOR SETAR, 19 Feb- Kakitangan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang sedang berjuang mendapatkan semula hak dan kebajikan mereka hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan meminta beliau agar lebih profesional dalam menangani kemelut kolej universiti itu.

Sekumpulan 20 kakitangan mewakili kira-kira 400 rakan mereka daripada pelbagai jawatan dan pangkat di kolej universiti berkenaan berhimpun di luar perkarangan Wisma Darul Aman di sini sejak pukul 11 pagi bagi tujuan itu sebelum berarak ke pintu masuk utama bangunan yang turut menempatkan Pejabat Menteri Besar.

Mereka bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki bangunan tersebut dan hanya menemui wakil Menteri Besar di hadapan pintu utama kerana Azizan dikatakan berada di Kuala Lumpur.

Penolong Pendaftar Kanan KUIN, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim yang mengetuai kakitangan kolej universiti itu kemudian menyerahkan memorandum berkenaan kepada Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohamad Helmi Khalid.

Memorandum 10 muka surat itu sebagai bantahan dan kekesalan terhadap kenyataan Azizan yang dilaporkan enggan mengambil tahu isu KUIN dengan mendakwa perkara itu ditimbulkan oleh ejen UMNO.

Memorandum tersebut turut memperincikan permasalahan yang dihadapi kakitangan kolej universiti berkenaan melibatkan beberapa perkara termasuk kebajikan kakitangan KUIN, insentif perpindahan ke Kuala Ketil, penubuhan Insaniah Holdings Sdn Bhd, dan dakwaan pemalsuan dokumen seperti penyediaan minit mesyuarat palsu.


Seluruh kakitangan KUIN juga menuntut tujuh perkara, iaitu:
  1. Menamatkan perkhidmatan Rektor KUIN, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman kerana didakwa gagal mentadbir dengan cekap dan amanah.
  2. Menutup operasi Insaniah Holdings Sdn Bhd, dan anak syarikat subsidiarinya serta-merta kerana didakwa menjadi liabiliti kepada KUIN dan kerajaan negeri.
  3. Menerima pekeliling perkhidmatan awam dengan membayar tunggakan kenaikan gaji sebanyak 13 peratus bermula Januari tahun lalu, tambahan elaun sara hidup RM50 dari jumlah yang sedang dibayar dan membayar bonus tambahan.
  4. Menamatkan kakitangan akademik luar negara yang bermasalah dan tidak menunjukkan prestasi kerja yang memuaskan.
  5. Membayar semua tunggakan pinjaman kakitangan kepada bank, institusi kewangan dan pihak ketiga serta membersihkan nama kakitangan yang disenaraihitamkan di dalam sistem CTOS serta CCRIS.
  6. Menutup semua kuliah dan program pengajian yang tidak mempunyai pelajar dan memperkasakan program pengajian Islam yang menjadi teras kepada Kuin.
  7. Mengembalikan semua bahagian pentadbiran Kulliyah yang kini berada di bawah Insaniah Holdings Sdn Bhd kepada pentadbiran di bawah Kuin yang dikendalikan Hal Ehwal Akademik.

Kesal Tuduhan MB

Menteri Besar tidak sepatutnya membuat tuduhan melulu tanpa mendengar rintihan kakitangan KUIN yang mendakwa dianiaya dan dinafikan kebajikan mereka.

Seorang pensyarah KUIN, Mohd. Farid Alias berkata, seluruh kakitangan kolej universiti itu kesal atas dakwaan Azizan bahawa mereka yang memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja sebagai ejen UMNO, sedangkan beliau tidak mempunyai sebarang bukti kukuh mengenainya.

Katanya, sebagai seorang Menteri Besar dan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN, Azizan sepatutnya bersikap terbuka dengan menubuhkan satu jawatankuasa siasatan untuk mengenal pasti permasalahan yang dihadapi kakitangan institusi itu.

"Sebagai seorang yang berkuasa di negeri ini, Menteri Besar hendaklah bersikap adil bagi memastikan pentadbiran yang berslogankan 'Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua' dilaksanakan secara menyeluruh supaya tiada rakyat negeri terlepas pandang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mewakili kakitangan KUIN selepas Penolong Pendaftar KUIN menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan kepada Menteri Besar di Wisma Darul Aman.


Lagi kisah mengenai KUIN boleh rujuk di SINI

1 comment:

  1. dpd buat kampus baru baik la setel mslh sedia ada ni dl..

    ReplyDelete

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...