#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 13 December 2012

Orang Atas Cantas Balak, Orang Bawah Kena Selut

Gambar Hiasan

Tun Dr Mahathir Mohamad membidas kerajaan Kedah yang diteraju Pas kerana gagal mengawal aktiviti pembalakan di negeri itu sehingga kerap berlaku banjir luar biasa yang merosakkan rumah dan kemudahan rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keadaan tersebut antara bukti pembangkang tidak mampu mentadbir negeri dengan baik dan penduduk Kedah perlu mengembalikan kuasa memerintah negeri kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Banjir bukan sahaja merosakkan rumah rakyat, tetapi sisa kayu balak yang dihanyutkan banjir juga memusnahkan kemudahan untuk rakyat seperti jambatan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dr Mahathir ditemui pemberita ketika melawat kawasan yang terjejas akibat aktiviti pembalakan di Kampung Pelangi, Gulau dekat sini.

Banjir yang melanda kawasan itu turut merobohkan sebuah jambatan konkrit yang baru siap dibina untuk kemudahan penduduk. -sumber SinarHarian


Dalam wawancara yang lain, Umno Kedah mendesak kerajaan negeri supaya menghentikan aktiviti pembalakan yang semakin berleluasa di negeri itu bagi mengelak bencana kepada rakyat pada masa hadapan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pembalakan secara 'cuci mangkuk', iaitu menebang semua pokok di Gunung Inas dan sekitar kawasan Tasik Pedu harus dihentikan segera.

"Kita jangan lupa tragedi Dipang di Perak pada 29 Ogos 1996 yang mengorbankan 39 nyawa. Kejadian itu berpunca daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal. Jangan kita biarkan tragedi itu berlaku di Kedah pula," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan negeri kerana gagal mengawal pembalakan sehingga menyebabkan banjir di Sik baru-baru ini.

Katanya walaupun sudah banyak pihak membangkitkan kebimbangan tentang aktiviti pembalakan itu, kerajaan negeri masih gagal mengambil tindakan pencegahan, malah terus memberi pelbagai alasan bagi merasionalkan tindakan tersebut.

Ahmad Bashah berkata bukan hanya rakyat dan ahli politik malah beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar serta pengkaji alam sekitar turut memberi amaran tentang bahaya melakukan pembalakan di kawasan berkenaan.

"Tetapi apa yang kerajaan negeri buat? Tiada apa tindakan pencegahan melainkan terus menebang balak atas nama Projek Ladang Rakyat dan pertanian," katanya.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, berkata BN Kedah menentang pembalakan itu bukan kerana iri hati mahupun menentang pembangunan untuk rakyat, tetapi hakikat yang berlaku ialah kerajaan negeri tidak mahu mempedulikan kebimbangan rakyat.

"Selalu saya tegaskan bahawa projek Ladang Rakyat dan projek pertanian itu hanyalah cara menghalalkan penerbangan balak," katanya sambil berharap kerajaan negeri tidak terus memekakkan telinga dengan suara rakyat. -sumber SinarHarian


No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...