#PrayForMH370

#PrayForMH370

Thursday 5 July 2012

Rektor KUIN Didesak Letak Jawatan, Apa Cerita Ni Zizan?


3 Julai 2012, satu lagi tarikh bersejarah dicatatkan dalam ketidakpuashatian para pekerja KUIN apabila kira-kira 200 warga kerja KUIN membuat demonstrasi aman mendesak Rektornya, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman meletak jawatan.

Walaupun dalam keadaan hujan, demonstrasi yang dinamakan "Himpunan Aman Bersih Bersih KUIN 2.0" ini tetap diteruskan pada sekitar jam 1.30 tengahari dengan ucapan dua orang wakil pekerja, iaitu Mohamad Azki Hafizi Ibrahim dan Sajiah Yaacob.


Kumpulan pekerja ini mendesak Dr. Jamil berundur selepas mereka hilang kepercayaan terhadap pentadbiran beliau yang didakwa mengabaikan kebajikan pekerja dan pelajar. Mereka juga mendakwa kewujudan anak-anak syarikat KUIN yang tidak mampu beroperasi sendiri sehingga mencetuskan krisis kewangan yang kritikal. Justeru, mereka mendesak agar KUIN segera menjelaskan semua hutang tertunggak berikutan kegagalan pihak pengurusan KUIN membuat pembayaran kepada pelbagai institusi kewangan, walaupun pemotongan gaji dibuat setiap bulan.

Beberapa keputusan pengurusan KUIN yang dipertikaikan adalah seperti menaikkan yuran pengajian secara mendadak daripada RM60 kepada RM200 satu kredit, mengenakan caj pemeriksaan kesihatan kepada pelajar baru antara RM150 hingga RM250, menaikkan yuran asrama dan caj menyemak status kemasukan pelajar.

Wakil pekerja, Mohamad Azki Hafizi Ibrahim berkata, "Majoriti kakitangan KUIN tidak suka dengan pentadbiran sekarang, justeru kami mengadakan perhimpunan setelah pintu rundingan ditolak. Meskipun kami diberi amaran akan dikenakan tindakan tatatertib jika mengadakan perhimpunan, kami tidak takut untuk berkata benar."


Kronologi konflik yang melanda KUIN:
  • 11 Januari 2011 : Pelajar mengadakan perhimpunan bagi menuntut pihak KUIN menyelesaikan masalah seperti isu yuran, penempatan, kemudahan asas dan karenah birokrasi.
  • Awal Mei 2012 : Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) bersetuju untuk mengemukakan memorandum tuntutan penyelesaian hal berkaitan kebajikan KUIN kepada Rektor, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman
  • 14 Mei 2012 : Wakil staf KUIN seramai 6 orang bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di kediamannya di Jalan Sultanah kira-kira jam 8.30 malam bagi menjelaskan isu sebenar yang berlaku dalam KUIN.
  • 20 Mei 2012 : Staf KUIN mengemukakan surat dan memorandum tuntutan penyelesaian hal berkaitan kebajikan KUIN kepada Rektor, dan salinan kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah KUIN serta Ahli Mesyuarat Tertinggi KUIN.
  • 30 Mei 2012 : Seramai 5 wakil staf ingin mengadakan pertemuan dengan Rektor kira-kira jam 12.30 tengahari, namun Rektor hanya mahu bertemu seorang wakil sahaja.
  • 19 Jun 2012 : Penyerahan memorandum kedua kepada Menteri Besar melalui Exco Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, sewaktu majlis Perasmian Budaya Kualiti di Dewan KUIN.
  • 20 Jun 2012 : Satu memo ditulis kepada Rektor agar segera mengadakan pertemuan dengan semua staf bagi menjelaskan pelbagai isu berbangkit namun tiada respons diterima.
  • 26 Jun 2012 : 5 laporan polis dibuat di IPD Kota Setar oleh beberapa staf KUIN setelah tamat tempoh sebulan yang diberikan kepada Rektor untuk menyelesaikan isu tunggakan bayaran kepada agensi kewangan walaupun dibuat pemotongan gaji terhadap staf.
  • 28 Jun 2012 : Jabatan Perhubungan Perusahaan Kedah menjadi orang tengah dalam rundingan staf berhubung isu kakitangan KUIN ditamatkan perkhidmatan tanpa prosedur sah.
  • 3 Julai 2012 : Perhimpunan aman oleh kira-kira 200 staf KUIN mendesak Rektor meletak jawatan.

Tok Kenari: Institusi pendidikan satu bidang yang mulia kerana memberi ruang dan peluang kepada semua orang untuk menimba ilmu. Lebih-lebih lagi di KUIN yang majoriti pekerja dan penuntutnya adalah orang Melayu. Kerajaan PAS Kedah, tolonglah jangan asyik nak berpolitik sehingga menggadaikan masa depan anak-anak Melayu kita! Ustaz Zizan, la ni hangpa bukan lagi pembangkang di Kedah, kalau tak reti buat pentadbiran, lepas ni hang dok balik la kerusi pembangkang kat persidangan DUN.. sudah-sudah la...

No comments:

Post a Comment

Komen dengan berhemah, masing-masing tanggung ye..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...